Semoga Seluruh Umat Islam Mengecapi Kejayaan di Dunia, Akhirat Kelak..
Ya Allah, ya Rahman, ya Rahim,
Saat ini kami mengangkat tangat memohon ke hadrat-Mu, memohon perlindungan dan
pertolongan daripada-Mu, ya Allah. Kami sedar, kami akur, wabak Covid 19 ini adalah
teguran daripada-Mu, ya Allah. Maka, ampunkan segala dosa kami, kesalahan dan kesilapan
kami, ya Allah. bantulah kami, hamba-hamba-Mu yang lemah ini, ya Allah. Angkatlah,
hapuskanlah wabak ini, lenyapkannya, wahai Tuhan Yang Maha Berkuasa.
Rabbir Yassir Wala Tu'assir Rabbi Tammim Bil Khair.

adrr

Monday, 27 May 2013

Dilema menjaga hati orang lain




Adakala kita terfikir… Kita mungkin tidak pernah menyusahkan hidup sesiapa, kita mungkin tidak pernah menganggu hidup orang dan tidak pernah pula membenci atau menyakiti mereka. Namun tiba-tiba sahaja mereka membenci kita. Berkata-kata buruk tentang kita di belakang dan mengaturkan pelbagai strategi untuk menyakitkan hati kita.

Sebagai manusia biasa, kita tidak akan terlepas dari mempunyai kekurangan pada diri. Mungkin pada cara kita bercakap, mungkin pada cara kita berjalan, mungkin pada mata, mulut, hidung dan seumpamanya yang menyebabkan ada sesetengah orang tidak suka, benci dan meluat melihat kita.

Jika mereka tidak berbuat apa-apapun mereka akan cuba melarikan diri dari kita. Seolah-olah kita ini makhluk yang aneh atau manusia yang tidak berguna, tidak perlu mendekati orang seperti kita. Keadaan yang diceritakan ini semakin menjadi-jadi apabila perbuatan masing-masing mula dizahirkan dalam Facebook.

Saya melihat ramai kawan-kawan yang me’remove’ kawannya yang menyakitkan hati. Hampir setiap hari juga saya melihat kenalan Facebook memaki-maki, marah dan menulis status-status berkaitan dengan orang yang dibenci dan orang membencinya. Apa sudah jadi dan apa yang harus kita lakukan?


Berfikir & Renung Sejenak…




Muhasabah diri. Adakala sikap orang adalah cermin kepada sikap kita sendiri. Mungkin kita rasa kita tidak menyakiti hati orang, tetapi orang tetap terasa sakit. Carilah kelemahan pada diri yang mungkin kita terlepas pandang dan perbetulkan kembali. Bertenang dan jangan membalas kebencian mereka dengan terus membenci mereka.

Seandainya kita sememangnya tidak melakukan kesilapan, kenapa mahu bersedih? Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang benar. Jika mereka membenci kita dan menyakitkan hati kita, itu dosa mereka. Kita tak rugi apa-apa, yang perlu kita sedih bukan sebab mereka membenci kita tetapi jika kita membenci orang dan cuba menyakitkan hati mereka. Kerana perbuatan itu akan membuatkan kita hampir dengan dosa.


Cukuplah Berbakti Kepada Orang Yang Wajib




Jika kita punyai kawan yang menyakitkan hati, abaikan sahaja dirinya. Cukuplah berbakti kepada orang yang kita perlu taat seperti ibu ayah, taat suami bagi seorang isteri dan taat kepada Allah sebagai seorang manusia. Mereka yang tidak tersenarai dalam rantaian kewajipan kita untuk taat itu kita boleh abaikan sahaja.
  • Biarlah semua kenalan menolak kita yang penting kita jaga suami kita dengan baik.
  • Biarlah kawan-kawan meninggalkan kita yang penting kita tidak meninggalkan keluarga.
  • Biarlah seluruh kaum keluarga memulaukan kita yang penting kita tidak memutuskan tali silaturrahim.
  • Biarlah seluruh umat menyakitkan hati kita yang penting kita tidak menyakitkan hati Allah.
Kebahagiaan terletak dalam hati. Ia bergantung kepada kepercayaan kita. Seandainya kita percaya bahawa dipulaukan orang adalah suatu yang menyedihkan, maka hidup kita akan terseksa. Namun seandainya kita faham bahawa perbuatan terkutuk mereka dapat menyumbangkan pahala yang banyak untuk bekalan akhirat, kita akan bahagia. Biarlah manusia yang leka dengan sandiwara dunia dengan sikap buruk mereka, yang penting jangan kita bersikap buruk pada mereka kerana hidup kita untuk mencari kebahagiaan di sana. Bukan melayan persengketaan yang sia-sia.

"Jangan resah andai ada yang membencimu, kerana masih ramai yang mencintaimu di dunia. Tetapi resah dan takutlah andai Allah membencimu, kerana tiada lagi yang mencintaimu di akhirat.” – Imam Al-Ghazali

Saturday, 25 May 2013

Pengalaman dalam bersahabat



Ramai yang sedia maklum, zaman remaja adalah zaman yang paling mempunyai liku liku kerana pada tahap ini kita dalam proses ingin mengenali dunia sebenar. Maka bermacam macam permasalahan mula timbul. Masalah yang aku kira paling mendapat tempat di fikiran setiap remaja adalah masalah cinta, masalah persahabatan dan masalah kewangan. Tiga masalah ini memang cukup sinonim dengan seorang remaja.

Tapi kali ini aku nak kupas lebih terperinci berkenaan persahabatan. Ramai yang mempunyai sahabat baik dan tak kurang jugak yang langsung tak mempunyai sahabat baik. Kadang kadang aku pelik orang yang langsung tak mempunyai sahabat baik, cekal benar dia mengharungi hidup. Sepanjang hampir 22 tahun aku hidup, bermacam jenis perangai sahabat yang aku jumpa; yang jenis kawan makan kawan, berkawan bila perlukan sesuatu, kawan yang sanggup susah payah bersama dan macam macam lagi. Tetapi yang paling banyak adalah kawan yang langsung tidak layak dipanggil kawan.

Tahu tak, sahabat juga seseorang yang sangat penting dalam hidup seseorang bilamana berada jauh dari keluarga. Sahabat jugalah yang akan bertindak sebagai adik beradik kita ; bergaduh bersama, menangis bersama, ketawa bersama sebagai menggantikan keluarga kita. Sahabat yang baik juga takkan sesekali biarkan sahabatnya menempuh kesukaran seorang diri. Tangan sentiasa akan dihulur untuk membantu, telinga akan sentiasa difokus untuk menjadi pendengar yang setia, mulut akan sentiasa bergerak untuk memberi nasihat berguna dan mata sentiasa diperhatikan supaya bila terleka ada yang menegur.

Ada yang persoalkan kenapa tak pernah ada sahabat sejati, kenapa sering dipulaukan, kenapa orang taknak berkawan, kenapa bila sedih semua kawan kawan hilang, kenapa itu kenapa ini dan kenapa kenapa. Pernahkah anda selidik balik diri anda sendiri pernahkah anda menjadi sahabat yang TERBAIK untuk orang lain? Pernahkah anda ada disaat orang lain perlukan teman dikala kesedihan? Pernahkah anda mengembirakan orang lain disaat dia sedang menghadapi kejatuhan? Tanya diri sendiri dulu kemudian baru boleh persoalkan semua kegusaran itu.

Cuba bayangkan, anda mahu orang ada ketika anda sedih walhal ketika dia sedih anda buat buat tak nampak dan membiarkan dia bersedih seorang diri. Mak aku sendiri pernah cakap, kalau kita nak dapat sahabat sejati yang betul betul sejati, kita terlebih dahulu harus menjadi sahabat sejati untuk dirinya. "Ah, buat apa aku buat baik pada dia, dia bukan buat baik pun kat aku. Mana dia pernah kisah aku ni okey ke tak. " Ha, ini la yang menjadi masalah sekarang. Semuanya tak mahu mengalah. EGO.

Aku menulis berdasarkan pengalaman. Aku tak cakap yang aku ni sahabat yang sangat baik. Dulu aku juga pernah berada ditahap dipulaukan oleh rakan bilik waktu aku menuntut di IKM. Satu semester langsung tak bercakap, tetapi bila masing masing sedar akan kesilapan masing masing segalanya menjadi normal dan alhamdulillah kami masih berkawan baik sehingga sekarang.

Alhamdulillah setakat ini aku masih lagi mempunyai sahabat yang sejati yang sanggup dengar aku bercerita sambil menangis di shopping complex berjam jam lamanya, yang sanggup menangis bersama sama aku, dan macam macam lagi benda yang sepatutnya dilakukan oleh seorang sahabat sejati. Alhamdulillah alhamdulillah. Cuma di tempat yang baru ni aku masih belum menemui klon sahabat sejati aku tu. Mungkin masih dalam pencarian. Ya, aku belum jumpa steady bestriend/s disini. Tak mengapa, mutiara yang berharga bukan senang nak ditemui tetapi sangat tinggi nilainya dihati aku.

Keywordnya disini, bila kita ingin mempunyai sahabat sejati kita terlebih dahulu harus menjadi sahabat yang terbaik untuk orang lain. Lupakan soal nak mengungkit selepas buat sesuatu kebaikan, lupakan niat nak orang balas budi selepas kita buat kebaikan, lupakan perangai ego dan kikisnya satu persatu dalam diri, dan bertindaklah dengan seikhlas mungkin dan paling penting jangan pernah putus untuk berdoa kepada Allah SWT supaya dikurniakan sahabat sejati. Ya Dia tak pernah tidur. Keep praying. Insyaallah kita akan bertemu dengan apa yang kita mahu dalam dunia ini. Insyaallah kita akan puas.

p/s : semoga kawan2 aku selalu diberkati olehNya tak kiralah apa pun perangai dia. 

Rahsia untuk Hilangkan Segala Kesusahan

Allahumma, la ilaha illa anta. Subhanaka, inni kuntu minazzhalimin
“ya Allah, tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau. Sungguh aku ini termasuk orang-orang yang zalim”.


Ketika kita ditimpa musibah atau dalam keadaan diuji, kita diajarkan untuk membaca apa yang dibaca oleh Nabi Yunus a.h.. Lalu kita pun melafazkannya.

Membacanya berulang-ulang kali. Ternyata masih ramai yang terus berasa gelisah. Ada pun mungkin reda tetapi sekadar sementara.

Seharusnya kita memahami apa yang dimaksudkan di dalam doa ini.

Kita nyatakan pada Allah bahawa “ya Allah, sungguh benar ya Allah aku ini termasuk orang yang zalim”. Siapakah orang yang kita zalimi?

Orang yang kita zalimi itu adalah sebenarnya DIRI KITA SENDIRI. Sungguh ketika aku gelisah resah sempit terhimpit, aku sebenarnya yang menzalimi diriku sendiri. Aku adalah orang yang zalim.

Jiwa terhimpit sempit kerana puncanya hanyalah satu iaitu tidak mahu redha dengan Allah SWT. Kita tidak mampu menerima sepenuhnya apa yang berlaku pada diri kita yang ditakdirkan Allah.

Lalu kita tidak memohon tetapi sekadar menyatakan pada Allah keadaan diri kita dengan harapan kita memperolehi belas kasihan Allah dengan menguatkan jiwa kita agar mampu redha dengan Allah SWT.

Inilah apa yang dinyatakan oleh Nabi Yunus pada Allah ketika berada dalam perut ikan yu. Mengaku tiada apa dan sesiapa pun yang berhak sebagai Tuhan melainkan hanya Allah SWT dan mengaku diri ini sungguh menzalimi diri ini ketika jiwa sempit terhimpit akibat tidak mampu menerima kehendak Allah SWT.

Ia bukanlah sebagai permohonan tetapi ia hanya komunikasi iaitu menceritakan keadaan diri pada Allah. SELEBIHNYA KITA HANYA MENGIKUT KEHENDAK ALLAH.

Dengan mengaku Allah sahaja yang berhak sebagai Tuhan dan bahawa sungguh aku ini orang yang zalim, Nabi Yunus BERJAYA MELEPASI 3 KEGELAPAN.

Atas izin Allah Nabi Yunus berjaya melepasi
1. Kegelapan perut ikan
2. Kegelapan lautan
3. Kegelapan malam.

Marilah, kita lafazkan pada Allah,
“ya Allah Tiada apa pun yang berhak sebagai Tuhan melainkan Engkau ya Allah dan Sungguh ya Allah, aku ini adalah termasuk dalam golongan orang yang zalim. Yang menzalimi diriku sendiri ya Allah dengan tidak berserah kepadaMu ya Allah.
Ya Allah aku mohon ya Allah agar diperkuatkan jiwa ini ya Allah, diberi petunjuk ya Allah. Kuatkan jiwa ini agar mampu berserah ya Allah. ya Allah………… ya Allah……….. ya Allah……”
 p/s : Semoga diri kita mampu keluar dari golongan orang yang menzalimi diri kita sendiri iaitu hamba yang tidak redha dengan Allah SWT. Amin.