Manusia yang berada di atas bumi ini takkan pernah puas. Keinginan atau kehendaknya takkan pernah dapat dipenuhi. Lepas satu dia dapat, dia mahu lebih lagi. Selepas itu, dia mahu lebih, yang lebih, lagi dan lagi. Dan wujud juga manusia yang suka melihat orang lain mengikut perspektif atau mengikut kemahuannya. Dia sahaja yang betul.
Apabila dia melihat seseorang itu begitu, maka dia mahu orang itu menjadi begini. Hanya kerana orang lain tidak seperti dirinya, dia mahu orang lain menjadi seperti itu.
Percaya atau tidak, masih wujud manusia sebegini. Sama ada anda mengikut telunjuknya atau tidak, terpulang. Tapi seharusnya kita ada prinsip tersendiri untuk menjadi diri sendiri. Kalau misal kata mahu orang berubah ke arah kebaikan, ya bagilah nasihat. Dan titik, kita hanya mampu beri nasihat dan memberi dorongan serta contoh.
Tetapi bukan memberi hukuman.
Sangat rugilah hidup kita ini jika hendak memuaskan orang-orang sekeliling yang selalu menghukum diri kita begini dan begitu. Kerana mahu tahu? Sedaya apa pun kita menuruti kemahuan orang lain kepada diri kita, orang takkan pernah berpuas hati. Akhirnya, siapa yang merana dan derita dari segi emosi? Siapa lagi? Kitalah!
Percaya Kepada Diri Sendiri
Kawan, ada beberapa hal diantara banyak hal di dunia ini yang perlu kamu sentiasa sedar walau di mana pun kamu berada. Pertama, tidak semua orang akan senang dan sukakan kamu. Kedua, akan ada orang yang sentiasa tidak puas hati dengan kamu walaupun kamu tidak mengenali orang itu, dan orang itu pun tidak mengenali kamu secara peribadi. Percaya? Dan akan menjelma manusia-manusia yang akan menghukum kamu sehingga mahu melihat kamu jatuh. Dan sebenarnya orang-orang bukanlah orang-orang yang mengambil berat dengan kehidupan kamu. Tetapi orang-orang ini hanyalah manusia yang wujud, yang tiada kepuasan terhadap diri sendiri lalu mencari orang lain untuk memenuhi apa yang diingininya hanya kerana dirinya pun tidak puas hati sendiri.Faham? Jadi, untuk tidak membiarkan manusia-manusia negatif semacam itu mempengaruhi emosi dan kehidupan kita, maka kita perlu percayakan diri sendiri. Kita perlu ambil tahu potensi diri sendiri dan memberi amanah kepada diri, bahawa kita mesti boleh melakukan sesuatu yang terbaik yang boleh kita lakukan!
Sudah 2017, kawan. Kita tidak perlu hirau pada pandangan manusia. Atau kita tidak perlu hirau kepada manusia yang tidak mahu bersama-sama dengan kita di jalan ini. Apa yang perlu kita lakukan? Move on, jalan terus dan jangan menoleh lagi.
Di dunia, kita selalu sahaja mendapati keadaan di mana orang lain tidak akan kisah kepada seseorang jika orang itu tidak mempunyai apa-apa. Sebaliknya, akan ‘kisah sangat’ jika seseorang itu menunjukkan potensi dirinya, lalu orang yang kisah sangat tadi itu sebenarnya tercabar. Apa yang mereka lakukan? Memberi hukuman, dan mahu orang lain bertindak mengikut kehendak mereka. Walaupun sebenarnya mereka itu bukan siapa-siapa dalam hidup kita. Macam tidak percaya? Kamu harus percaya.
Hanya dengan menghormati diri sendiri, menghargai dan tahu potensi diri lalu mengembangkannya yang akan membuatkan orang lain tidak dapat mengawal hidup kita dengan persepsi untuk kepentingan diri mereka.
Kasut Orang Lain Bukan Kasutmu
Diri kita ini juga ada kelemahannya. Selalu kita melihat kehidupan orang lain. Kita jadi cemburu kepada perjalanan hidup dan kejayaan hidup orang lain. Kita melihat yang indah-indah sahaja pada kehidupan orang lain. Sehingga sampai suatu waktu, kita pula berusaha untuk ingin memperolehi apa yang orang lain ada.Sifat cemburu kepada kejayaan orang lain itu bagus sebenarnya. Untuk dijadikan dorongan kepada diri sendiri. Jadi pembakar semangat! Tetapi kalau sifat cemburu itu hanyalah kerana cemburu kerana dunia semata-mata, maka diri kita akan berakhir dengan menjadi seseorang yang sentiasa meniru dan terikut-ikut dengan cara kehidupan orang lain. Kita memerhati apa yang orang lain ada, kita wajibkan ke atas diri kita pula mesti ada.
Sangat lucu! Dengan hanya bersifat sedemikian, tidak perlu pun orang lain memaksa-maksa diri kamu, atau memberi telunjuk tentang kehidupan kamu. Kerana pasti! Sangat pasti, kamu telah membiarkan diri kamu menjadi hamba kepada orang lain. Titik!
Mudahnya menjadi hamba kepada orang lain, bukan?
Orang melayu terkenal dengan pepatahnya, “Ukur baju di badan sendiri’. Secara tersuratnya, kalau kita mengukur baju mengikut ukuran badan orang lain, maka boleh jadi baju kita nanti menjadi terlalu besar atau terlalu kecil buat kita. Nah, akibatnya nanti apa? Kita yang rugi. Bukannya orang lain. Logik? Begitulah juga dengan kehidupan orang lain. Itu kehidupan orang lain, bukannya kehidupan kita.
Kasut kita, tetap jadi kasut kita. Kasut orang lain, bukan kasut kita.
Tambahan pula, kita selalu merasa kagum dengan pencapaian orang lain di dalam dunia ini. Jarang benar kita mahu melihat apa dugaan dan cabaran yang perlu dia tempuhi sebelum dapat mencapai apa yang dia ada pada hari ini. Alah, jangan mahu menidakkanlah! Betul atau tidak? Senyum.
Masing-masing Ada Bahagiannya
Kejayaan yang kita mungkin perolehi, mungkin tidak se-gah orang lain. Mungkin tidak segempak orang lain. Kerana apa? Hal ini kerana, rezeki setiap manusia itu berbeza-beza. Asalkan kita berusaha, maka adalah untuk kita. Allah SWT kan sudah berjanji, bahawa bagi setiap manusia yang berusaha itu, pasti ada bahagian buat mereka.Jadi kenapa perlu risau?
Kadang-kadang perjalanan hidup kita tidak seindah perjalanan hidup orang lain. Kadang-kadang kejayaan dan pencapaian kita dalam hidup, tidak seawal orang lain. Jadi, buat apa nak kisah sangat tentang itu? Apa yang perlu kita risaukan adalah apabila kita berhenti dari berusaha dan hanya mengharap kejayaan datang bergolek semata-mata.
Sesekali jika hati kita terusik apabila melihat perjalanan hidup kita dan perjalanan hidup orang lain itu tidak sama, maka itu biasalah. Perkara normal. Tidak salah untuk ada perasaan macam tu. Yang salahnya, bila kita terlalu fikirkan perkara tu dan kita mulailah hendak berputus asa. Setelah apa yang kita perjuangkan, baru sekarang nak putus asa.
Sia-sia jelah hidup!
Saya jadi teringat pula dalam kelas saya sewaktu sekolah menengah dulu. Bunyi tulisan yang ditampal buat dorongan semangat tersebut berbunyi lebih kurang begini,
“Tidak kiralah berapa kali anda terjatuh dalam hidup. Apa yang penting adalah anda tidak pernah berhenti untuk bangun lagi dan lagi!”
Teruskan Berusaha Dan Mencuba
Kamu ada kejayaan yang mahu dicapai tapi sehingga sekarang belum tercapai kejayaan tersebut? Dan sekarang kamu sedang berusaha menuju kejayaan tersebut tetapi terasa seperti sudah jauh ketinggalan di belakang berbanding orang lain?Well.. Orang lain itu siapa? Kisahkah orang itu terhadap kamu? Atau hanya kamu sendiri yang merasa rendah diri kerana tidak seangkatan dengan orang lain yang sudah mencapai kejayaan tersebut? Cuba, cuba tanya diri sendiri. Tanya dalam-dalam.
Saya hanya akan kata, siapa kisah terhadap orang lain? Kadang-kadang kita ini, terlalu pula mengambil berat terhadap pandangan orang lain. Sedangkan, orang lain yang kita maksudkan itu tiada pula bersangka-sangka. Malah boleh jadi ada yang mendoakan kita secara diam-diam. Siapa tahu, kan?
Dan kalau pun orang lain yang dimaksudkan itu merendah-rendahkan usaha kita yang sekarang. Kenapa mahu kisah? Adakah orang itu yang memberi kita makan? Ataukah orang itu menanggung perbelanjaan atas usaha kita? Kalau tidak, kenapa kisah?
Kadang-kadang kita yang terlalu berfikir bukan-bukan.
Teruskan sahajalah. Insya-Allah, pasti kita akan bertemu dengan orang-orang yang baik. Dan insya-Allah, kita akan bertemu dengan orang-orang yang sebaliknya juga. Tapi, apapun.. Itu semua akan menguatkan kita. Yang penting apa? Kita percaya dan yakin terhadap diri sendiri. Bukannya membenarkan orang lain merendah-rendahkan diri kita. Atau kita sendiri yang mematahkan semangat untuk berusaha. Haishhh! Cubit kang!
Dan kita kena yakin, bahawa Allah SWT takkan biar kita bersendiri. Senyum. :)