Semoga Seluruh Umat Islam Mengecapi Kejayaan di Dunia, Akhirat Kelak..
Ya Allah, ya Rahman, ya Rahim,
Saat ini kami mengangkat tangat memohon ke hadrat-Mu, memohon perlindungan dan
pertolongan daripada-Mu, ya Allah. Kami sedar, kami akur, wabak Covid 19 ini adalah
teguran daripada-Mu, ya Allah. Maka, ampunkan segala dosa kami, kesalahan dan kesilapan
kami, ya Allah. bantulah kami, hamba-hamba-Mu yang lemah ini, ya Allah. Angkatlah,
hapuskanlah wabak ini, lenyapkannya, wahai Tuhan Yang Maha Berkuasa.
Rabbir Yassir Wala Tu'assir Rabbi Tammim Bil Khair.

adrr

Tuesday 10 April 2018

Angin Peredaran Budi

Assalamualaikum,

Pejam celik, pejam celik,
Masa berdetik tanpa sedar,
Pantas perjalanan,,
membawa lenaku ke sini.

realridz tak sangka, blog ini menghampiri 14 tahun penubuhannya. Sambil penulisan di tepi pantai, menghirup udara nyaman di sini tanpa ada gangguan atau sebarang penghakiman manusia.

Dalam 14 tahun, pelbagai drama, pelbagai liku kehidupan telah berlalu tetapi itu bukanlah satu sebab untuk kita mengundur ke belakang, patah semangat, well cakap tersangatlah mudah seperti makan jajan. Nak tahu tak, meh saya kongsi sikit cerita kehidupan saya tapi janji kena baca dediam je dan tiada perasaan judgemental dan saya hargai jika ada sifat ingin menolong. Dalam peredaran tahun ke tahun, satu mometum hitam terjadi pada diri saya menyebabkan saya kemurungan hampir ke ***.

KEPERCAYAAN

Bila saya dalam situasi yang gelap ini, saya akan cuba mencari seseorang atau pendengar yang boleh saya percayai untuk menumpang bahu dan meluahkan. Berlama mana saya menyerahkan kunci kepercayaan ini dan akhirnya saya di maklumkan oleh orang lain berserta bukti yang cukup meretakkan hati.

"AKU DITIKAM DARI BELAKANG OLEH SAHABAT SENDIRI YANG AKU SANGAT PERCAYA!"

Saya cuba menarik nafas untuk tenangkan diri dan bertanya kepada diri sendiri, apakah yang telah saya lakukan menyebabkan dia berbuat demikian? TIADA! Akhirnya, gugurnya air mata kerana mengenangkan sahabat yang bertukar menjadi pengkhianat.

Jiwa saya meronta...

KENAPA!
KENAPA!
KENAPA!

APA SALAH SAYA?

“Saya akan pikul rahsia itu jika engkau percayakan kepada saya dan saya akan masukkan ke dalam perbendaharaan hati saya dan kemudian saya kunci pintunya erat-erat. Kunci itu akan saya lemparkan jauh-jauh sehingga seorang pun tak dapat mengambilnya kedalam lagi.”
― Hamka, Di Bawah Lindungan Ka'bah

Benar kata-kata Hamka. Orang yang menyimpan rahsia merupakan seorang yang amanah. Amanah menjaga rahsia sehingga ianya dijaga dengan rapi tanpa bocorkannya.
“Dan Kami bolak-balikkan hati mereka dan penglihatan mereka.”(6:110)
Perubahan hati kadang-kala ianya terlalu pantas dan kadang-kadang tidak mampu dipandu dalam pemanduan yang baik. Dan peredaran budi ditaburkan, dilupuskan seperti tidak pernah menabur jasa, bakti di buang begitu saja. Inilah manusia yang perlupa, sudah bahagia, sepahnya mudah diludah.

Sayang, sama sekali terlalu sayang. Diriku hanya bertepuk sebelah tangan. Menekan-nekan tertikus, memutarkan kembali memori kita dalam cakera keras yang di simpan rapi sebagai koleksi toleh ke belakang.

Dan orang-orang yang mahu menerima petunjuk, Allah menambah petunjuk kepada mereka dan memberikan balasan ketakwaannya”. (47:17)




Apa yang baiknya disini, yang terjadi, Allah tunjukkan sesuatu kepada diriku, dialah manusia yang harus kamu berhati-hati sebelum termasuk dalam lubang najis yang lebih teruk. Terima kasih, Ya Alllah. Hanya Engkau mengetahui apa terbaik buat diriku ini.

Mulai saat itu, saya mengambil langkah berhati-hati dan professional untuk berhadapan dengan 'sahabat' ini. Bagi saya, cukuplah saya mendera perasaan diri sendiri. Masa untuk bangkit dan hapuskan angin yang cuba menjatuhkan diri.

Apa yang berlaku, ingatlah JANGAN BALAS DEMDAM... Pohonlah kepada Allah, Dia Maha Pendengar, lagi Maha Adil dan Bijaksana. Semoga apa yang berlaku, menjadi sempadan dan pengajaran buat diri saya dan contoh untuk anda semua. Kepercayaan itu suatu AMANAH, dan peredaran BUDI harus digenggam rapi agar kita tidak lupa jasa orang yang membantu kita di waktu kita jatuh, Dan mengingati budi hendaklah bertempat.

Saya melarikan diri ke Krabi, Thailand berseorangan tanpa diteman oleh sesiapa selama 5 hari. Inilah masa yang berkualiti untuk menghirup udara segar dan berjalan sambil melihat bumi ciptaan Allah. Alhamdulillah, saya pergi dan balik ke tanah air semuanya dipermudahkan olehNya.

Setiap perkara yang berlaku, pasti ada hikmahnya. Allah lebih mengetahui. Doakan saya!




Wednesday 4 April 2018

Paradoks Penghakiman

Berombak paradoks di jiwa,
Tidak yang datang menghulurkan tangan,
Laluan sukar,
Ku mohon kepada Dia agar dipermudahkan.

Masalah peribadi di kunci rapi,
Serik bercerita kepada pendengar yang salah,
Berlawan dan mempertahankan jiwa sendirian,
Dalam memandu menghadapi arah yang mencabar.

Mereka bebas mewarna perkataan melalui bibir,
Tanpa mengikut rasa tona warna latar,
Gelombang arus dari pelbagai sudut,
Cuba untuk kuat bertahan menghadapinya.

MOHAMAD RIDZUAN ABDUL MAJID
Krabi, Thailand


Monday 4 September 2017

Keselekoh Kekuatan

Assalamualaikum dan Bismillah.

Gambar di ambil semasa bercuti di Lombok, Indonesia. Kalau saya ada masalah saya suka pergi ke pantai, habit saya begitu sejak sekolah rendah sebab rumah berhampir dengan pantai.


Kesedihan dalam hidup itu adalah perkara biasa.

Sangat normal bila dalam hidup ini kita teruji dengan ruang masa dan waktu. Kita teruji dengan kewangan. Kita teruji dengan hubungan sesama manusia. Malah, adalah menjadi satu kemestian dalam hidup manusia teruji dengan pencapaian tentang sesuatu dalam hidup. Dipendekkan cerita, antara fakta terbesar dalam hidup manusia adalah,

MANUSIA AKAN SELALU TERUJI.

Dan dalam setiap ujian itu, banyak waktu pasti akan diiringi oleh kesedihan jiwa kita. Pernah tertanya-tanya tak, adakah kita sebenarnya perlu bersedih? Mestikah kita bersedih bila saat-saat berhadapan dengan ujian? Kenapa perlu bersedih?

Waktu ini saya masih di dalam mood kesedihan. Masa bercuti ni saya di temani orang yang hebat-hebat antara kak kebayan, Lecturer WNH dan seorang teman yang di gelar ustaz.

Apa yang perlu kita sedar bahawa, perasaan sedih atau kesedihan itu adalah salah satu perasaan yang Allah SWT anugerahkan kepada manusia. Menjadi manusia yang bersedih apabila terasa mahu bersedih dan menangis itu, tidak salah. Mahu bersedih, maka bersedihlah. Mahu menangis, maka silakan. Tiada siapa melarang untuk bersedih dan menangis. Dan tiada hukum yang menghukum bahawa menangis itu adalah dosa.

Jadi nanti bila satu saat, kau terasa mahu menangis kerana hanya dengan cara menangis boleh melegakan sedikit hatimu, maka menangislah. Jangan tahankan, luahkanlah.

Airmata itu adalah tanda kau sedang membina kekuatan..

Kita rasa kita sudah cukup kuat menghadapi hentakan cabaran-cabaran yang kita hadapi dalam hidup. Yang datangnya tiba-tiba, dan perginya juga tiba-tiba. Kita bisukan kesedihan, kita sembunyikan airmata dan kita buang perasaan terasa bersendirian menghadapi perkar-perkara yang menyakitkan dan mencabar kekuatan emosi.

Kita kumpul sebanyak-banyaknya di dalam bongkahan dada. Bagi orang yang tiada tempat untuk dikongsikan luahan, menelan satu persatu kejadian dalam hidup adalah pilihan yang terbaik. Kerana pada kita, jika kita menceritakan dan meluahkan kepada orang lain, belum tentu mereka akan faham. Banyak waktu, mereka hanya mampu mendengar. Dan kita adalah seorang manusia yang tidak mahu membebankan fikiran orang lain dengan luahan masalah kita.

Dan takut pula kita memburukkan atau terfitnah orang yang terbabit - kerana kita masih memikirkan untuk tidak memburukkan orang-orang yang terlibat dalam menghentak dunia dan perasaan kita.
Sampai satu tahap, atas kelemahan diri kita sendiri juga.. Kita terasa bahawa hidup kita ini tiada yang memahami. Apatah lagi orang lain mahu memahami diri kita padahal kita pun tidak memahami diri sendiri. Rumit, kan? Jadi, kita memilih untuk menjadi orang yang mulut dan perasaannya terkunci serapat-rapatnya.

Akhirnya kita menjalani kehidupan dengan menelan setiap kesakitan, dan menerima 'rasa keseorangan' sebagai salah satu cabaran hidup. Yang menguatkan kita, hanyalah Tuhan sekalian alam.


Saya yakin setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya tetapi elakkan setiap kali menggunakan alasan atau menjadi tunggangan hikmah itu sendiri, takut ertinya tidak lagi tulin sesecuci namanya. Kita dikurniakan akal dan fikiran untuk menyelesaikan atau berbincang sesebuah perkara  jika ianya bermasalah dengan baik bukan menghancurkan ia menjadi luka dalam hati.

Siapa pun yang sedang atau pernah mengalami perasaan sedemikian. Semoga Allah melapangkan perasaanmu, meninggikan darjatmu di dunia dan akhirat, dan mengukirkan senyuman diwajahmu.
Aku tidak akan menasihatimu dengan banyak.. cuma aku doa, semoga nanti akhirnya kau beroleh bahagia yang kau layak jalani.

P/S: Maaf lama tidak menulis kerana sedang berjuang untuk pulihkan emosi. Doakan saya ya semuanya. Jazakallah!